Penindasan warganegara Tionghoa Orde_Baru

Kebebasan bercakap warganegara Tionghoa juga diharamkan. Sejak tahun 1967, para penduduk Tionghoa dianggap sebagai warganegara asing di Indonesia dan kedudukan mereka terletak di bawah warganegara pribumi, dengan hak-hak asasi mereka juga dihapuskan secara tidak langsung. Persembahan Wayang Cina secara terbuka, perayaan Hari Tahun Baru Cina, dan penggunaan bahasa Mandarin diharamkan, meskipun hal ini kemudian diperjuangkan oleh komuniti Tionghoa Indonesia, terutamanya Ikatan Naturopati Indonesia (I.N.I) kerana pengharaman tersebut sama sekali menjejaskan penyediaan resipi ubat yang biasanya hanya dapat ditulis dalam bahasa Cina. Mereka merayu sehingga ke Mahkamah Agung dan akhirnya, Pendakwa Agung Indonesia ketika itu memberikan keizinan, dengan syarat bahawa kaum Tionghoa Indonesia berjanji tidak akan mengumpulkan kekuatan mereka untuk memberontak dan menggulingkan pemerintahan Indonesia.

Satu-satunya akhbar bahasa Cina yang dibenarkan ialah Harian Indonesia yang sebahagiannya ditulis dalam bahasa Indonesia. Akhbar ini dikelolakan dan diawasi oleh Angkatan Bersenjata Republik Indonesia (ABRI), tentera Indonesia. Agama tradisional Tionghoa diharamkan, dengan akibat agama Konfusianisme kehilangan pengiktirafan pemerintah.

Pemerintah Orde Baru berdalih bahawa warganegara Tionghoa yang jumlah penduduknya sebanyak kira-kira 5 juta orang ketika itu diragui akan menyebarkan pengaruh komunisme di Indonesia. Padahal keadaan sebenarnya menunjukkan bahawa kebanyakan daripada mereka bekerja sebagai peniaga dan tentu akan menolak sebarang ajaran komunisme yang sangat menentang sebarang perdagangan swasta.

Orang-orang Tionghoa dijauhkan daripada kehidupan politik, dengan sesetengah mereka memilih untuk menghindarinya kerana khuatir akan keselamatan diri.